Sunday, October 09, 2011

Palestin Part 9 - Salman Al-Farisi


Menuju Makam Salman Al-Farisi

Assalamualaikum. Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Apabila iman itu tergantung di bintang Suraya, nescaya ia akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi."

Itu adalah salah satu Hadith Rasulullah S.A.W. yang ada menyentuh mengenai orang-orang Parsi. Terdapat banyak pendapat mengenai hadith ini. Dan apa yang saya faham, kemungkinan besar Hadith ini merujuk kepada betapa keimanan orang-orang Parsi di suatu tahap di mana mereka boleh mencapai satu peringkat tertinggi dalam menegakkan agama Allah S.W.T. Ada setengah yang mengatakan ianya bermaksud cara berfikiran seperti taakulan (Firasat yang lebih kurang sama dengan Farisi) yang mendalam mengenai Islam, dan lain-lain. Wallahualam.

Mendengar penerangan daripada Mr Walid.

Mengapa saya buka post kali ini dengan hadith Nabi ini? Ia adalah kerana salah seorang sahabat karib Rasulullah S.A.W. adalah berbangsa Parsi (Iran padi hari ini). Beliau ialah Salman Al-Farisi. Pada asalnya Salman merupakan seorang saudagar dari Parsi yang merantau dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain berdagang. Pada mulanya beliau merupakan seorang yang beragama Majusi. Setelah itu, beliau menjelajahi ke beberapa buah negeri demi mencari agama yang benar-benar menenangkan pemikiran beliau. Daripada Majusi, beliau bertukar menganut agama Kristian, berguru dari seorang paderi ke seorang paderi yang lain. Hingga paderi yang terakhir, Salman diberitahu mengenai kewujudan seorang Rasul akhir zaman di bumi Arab. Hal ini membuatkan beliau datang ke tanah Arab bertemu Rasulullah S.A.W. dan memeluk Islam akhirnya.

Salman Al-Farisi diriwayatkan merupakan salah seorang sahabat yang amat rapat dengan Rasulullah S.A.W. Beliau terkenal dengan ketaqwaannya dalam mengerjakan ibadat dan selain itu merupakan seorang yang sangat zuhud dengan harta benda beliau. Selain itu, tidak dinafikan lagi kebijaksanaan dan keberanian beliau dalam memperjuangkan agama Allah S.W.T. Hasil kebijaksanaan beliau, sebuah parit (Khandaq) digali ketika peperangan Khandaq di Madinah. Penggalian parit itu merupakan idea Salman Al-Farisi yang ternyata efektif ketika memerangi kaum kafir.

Makam Salman Al-Farisi, Palestin

Ada riwayat mengatakan beliau meninggal dunia di Palestin disebabkan penyakit Taun. Kami sempat menziarahi satu kawasan di Bukit Zaitun yang dipercayai menempatkan makam sahabat Rasulullah S.A.W. ini. Ditempatkan di dalam sebuah masjid kecil, makam ini menjadi lawatan orang Islam yang datang menziarahi bumi Palestin ini. Haruslah ditekankan di sini, apabila kita menyebut perkataan Makam, ianya merupakan sebuah bangunan (binaan) yang dibina bagi memperingati kubur sebenar Salman Al-Farisi yang dipercayai ditanam di sekitar kawasan makam ini. Salman Al-Farisi meninggal dunia ketika zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan. Beliau dipercayai berumur 78 tahun ketika meninggal dunia dan ada riwayat/pendapat lain yang mengatakan beliau berumur lebih daripada 300 tahun ketika meninggal dunia. Wallahualam. Selain di Palestin, terdapat satu lagi tempat di Iraq yang dikatakan menempatkan makam Salman Al-Farisi.

Tower of Ascenscion Russia Ortodoks

Di sekitar masjid yang menempatkan Makam Salman Al-Farisi ini, terdapat kawasan perkuburan umat Islam. Kami sempat menziarahi dan menyedekahkan Al-Fatihah. Di sebelah kawasan masjid ini terdapat sebuah menara orang Kristian. Menara ini dipanggil "Tower of Ascenscion" milik Kristian Russian Ortodoks. Di sini dipercayai oleh orang Kristian Russia, Nabi Isa a.s. (Jesus) diangkat ke langit. Lebih kurang 800m dari masjid ini, terdapat satu lagi "Tower of Ascenscion" milik Kristian Lutherin, German yang juga dipercayai Kristian German merupakan tempat Nabi Isa a.s. diangkat ke langit.

Salman Al-Farisi merupakan sahabat pertama yang menterjemahkan Al-Quran ke bahasa asing iaitu Bahasa Parsi. Salman Al-Farisi juga merupakan antara sahabat Rasulullah S.A.W. yang paling banyak meriwayatkan hadith-hadith Baginda Rasulullah S.A.W. Al-Fatihah.

Bagi mereka yang ingin menonton lawatan kami ke Makam Salman Al-Farisi ini, boleh membaca post sebelum ini atau KLIK SINI!.

No comments: