Friday, September 16, 2011

Palestin Part 7 - Kubur 3 Nabi dan Pasangan masing-masing, HEBRON


Sebelum menaiki tangga ke Masjid Khalil

Destinasi seterusnya. Hari kedua di bumi Palestin kami memulakan perjalanan seawal jam 9.00 pagi menuju Hebron, bandar yang terletak di bahagian selatan Tebing Barat dan berada lebih kurang 30km daripada Baitul Maqdis. Hebron merupakan bandar terbesar di Tebing Barat dengan berpopulasi lebih kurang 166,000 orang Palestin dan sekitar 500 orang pelarian Yahudi. Bandar Hebron merupakan bandar kedua tersuci bagi orang Yahudi dan merupakan salah satu daripada empat bandar tersuci buat orang Islam. Bandar Hebron terkenal dengan pasaran kaca dan seramiknya. Ia merupakan pusat pengeluaran dan penghasilan barang-barang seperti tembikar, pasu, perhiasan dan lain-lain yang berkenaan dengan kaca dan seramik.

Walaupun bandar Hebron ini berada di bawah kelolaan kerajaan Palestin, kawasan yang akan kami pergi ini dikawal oleh askar-askar Yahudi. Tempat suci ini dan kawasan persekitarannya mempunyai undang-undang yang berbeza sedikit daripada kawasan-kawasan lain di bandar Hebron. Di kawasan ini (dikenali sebagai H2), kenderaan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali untuk beroperasi di atas jalan rayanya. Hasil daripada tindakan kejam ini, kawasan yang dahulunya dipenuhi kedai-kedai orang Islam yang pesat beroperasi kini menjadi seperti sebuah bandar lama yang berhantu dan ditinggalkan. Kedai-kedai ini telah dikosongkan sejak tahun 1994 kerana tidak dapat beroperasi akibat sekatan oleh rejim Zionis ke atas kenderaan-kenderaan orang Islam. Kenderaan-kenderaan ini penting dalam memudahkan aktiviti logistik setiap perniagaan mengangkut dan menghantar barang jualan ke kedai atau kepada pelanggan. Sedih seketika kami menghayati cerita yang disampaikan oleh Mr Walid.

Nak masuk masjid pon kena X-Ray macam kat Airport

Sampai di destinasi, askar-askar yahudi berkelengkapan canggih berada di mana-mana sahaja. Salah seorang bertanya kepada kami berasal daripada mana (tanpa mimik muka yang mesra). Nasib baik Mr Walid ada menerangkan kepada mereka segala jawapan buat soalan-soalan yang ditanyakan.

Masjid Khalil

Dari jauh kami melihat sebuah masjid yang agak besar berada di puncak sebuah bukit. Inilah yang dinamakan Masjid Khalil Ar-Rahman. Masjid ini merupakan salah satu Masjid yang penting kerana ia menempatkan Maqam bagi 3 orang Rasul beserta isteri masing-masing. Nabi Ibrahim a.s. dan isteri baginda, Siti Sarah, Nabi Ishaq a.s. dan isteri Rifqah juga Nabi Ya'qub a.s dan isteri Le'ah keenam-enam mereka disemadikan di bawah Masjid Khalil ini. Tidak sabar rasanya ingin menziarahi ketiga Maqam Nabi-nabi penting dalam Islam ini rasanya. Sebelum memasuki Masjid, kami dikehendaki menjalani proses pemeriksaan X-Ray di checkpoint yang disediakan di pintu masuk masjid.

Gambar Maqam Ibrahim Dari Luar (Atas) dan di Dalamnya (Bawah)

Sedikit sejarah mengenai ketiga-tiga Nabi ini. Seperti yang kita tahu, Nabi Ibrahim mempunyai 2 orang isteri iaitu Siti Sarah (isteri pertama) dan Siti Hajar (isteri kedua, merupakan pembantu Siti Sarah asalnya). Siti Sarah membenarkan Nabi Ibrahim berkahwin dengan Siti Sajar kerana ketika itu Siti Sarah mandul. Hasil perkahwinan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar, mereka dikurniakan Nabi Ismail a.s. dan hal ini mewujudkan perasaan cemburu kepada Siti Sarah. Akibat perselisihan faham antara mereka, Nabi Ibrahim akur dengan kehendak Siti Sarah menghantar Siti Hajar dan Nabi Ismail ke kota Faran (Kini Mekah). Diriwayatkan setelah beberapa lama, akhirnya dengan izin Allah, pasangan Nabi Ibrahim dan Siti Sarah dikurniakan juga seorang anak bernama Nabi Ishaq a.s. Dan daripada keturunan Siti Sarah inilah semua Nabi yang diutus adalah dari keturunan Bani Israel manakala daripada Siti Hajar ialah berketurunan Arab.

Maqam Rifqah (Yg ada mamat Tengok) dan Maqam Nabi Ishaq (Sebelah Kanan Jauh)

Kejadian yang sama terjadi kepada Nabi Ishaq a.s di mana beliau dan isteri, Rifqah memperolehi cahaya mata ketika berusia 90 tahun iaitu Nabi Ya'kub. Nabi Ya'kub pula sangat terkenal di kalangan penganut Yahudi kerana daripada hasil perkahwinan Nabi Ya'kub a.s. dan isterinya Laiya lah wujudnya 12 suku kaum utama puak Yahudi yang dapat kita lihat sampai ke hari ini. Kesemua 12 suku kaum ini berasal daripada 12 orang anak lelaki Nabi Ya'kub. Ringkasan dan senarai anak-anak Nabi Ya'kub ini boleh dilihat di bawah :
  • Ruben(anak sulong Nabi Ya'qub)(juga disebut RU’BEM,REUVEN dan RAOBIN dalam beberapa versi Kristian Bible).
  • Simon (atau SYAHMUN dalam kebanyakan frasa sebutan bahasa Aram, Ibrani dan Arab).(Mempunyai anak lelaki yang bernama Thalut @ Saul, dimana kisah Thalut ada disebutkan dalam Al-Quran).
  • Levi 1 @ Lewi 1 bapa kepada Matthat(keturunan nenek moyang Nabi Isa).
  • Yahudza (bapa kepada Bares)(keturunan nenek moyang Nabi Daud,Nabi Sulaiman dan kebawah).Perkataan Yahudi juga diambil daripada namanya.
  • Dan
  • Natthali (Naftalv)
  • Gad (Yad)
  • Asyer (Asvir)
  • Isakhar (Yassakir)
  • Zebulon (Zabanun)
  • YUSUF (Nabi Yusuf a.s.)
  • Bunyamen @ Benjamen (merupakan moyang kepada Nabi Yunus a.s.)

Salasilah 25 Rasul boleh didapati DI SINI untuk mendapat gambaran bagaimana berkembangnya Rasul-Rasul Islam dan dari mana asal-usul setiap seorang.

Askar Yahudi masuk Masjid Pakai Kasut tapi ada Karpet Plastik Cover tak Kotor

Di bawah Masjid Khalil ini terdapat sebuah gua. Gua ini yang dikenali oleh orang-orang Yahudi dan Kristian sebagai "Cave of Patriarchs" kerana di dalam gua inilah bersemadinya keenam-enam tokoh penting dalam sejarah Islam ini. Gua yang terletak 15 meter di bawah tapak Masjid ini sudah ditutup dan disimen dari atas bagi mengelakkan jenazah setiap seorang ini digali atau diapa2kan atau dicuri, dsb. Masjid Khalil ini terpecah kepada 2 bahagian iaitu bahagian Yahudi dan bahagian Islam. Di bahagian Islam, terdapat Maqam Nabi Ishaq dan isterinya Rifqah sementara di bahagian Yahudi pula, terdapat maqam Nabi Ya'kub dan isteriya Laiya. (Orang Islam tidak dibenarkan melawat / masuk ke kawasan maqam Nabi Ya'kub) Di tengah-tengah 2-2 bahagian ini menempatkan Maqam Nabi Ibrahim a.s dan Siti Sarah (boleh dilihat dan dilawat oleh 2-2 Yahudi dan Islam).

Mimbar Salahuddin Ayubi

Di dalam Masjid ini terdapat sebuah lagi Mimbar Salahuddin Ayubi seperti mana yang terdapat di Masjidil Aqsa cuma yang ada di Hebron ini adalah yang asli berasal dari kurun ke-11 ketia zaman pemerintahan Ayubi. Walaupun tua dimamah usia, ternyata struktur Mimbar ini masih kukuh dan masih digunakan sehingga ke hari ini untuk urusan khutbah hari Jumaat, dan lain-lain.
Lubang tembus ke bawah gua menempatkan Kubur

Di dalam Masjid ini juga terdapat sebuah tiang yang mempunyai lubang-lubang kecil tembus ke bawah masjid di mana kita boleh nampak lampu-lampu yang digunakan untuk menerangi kawasan kubur para Anbiya' ini. Cahaya yang menerangi kawasan gua yang menempatkan kubur keenam enam orang penting ini dapat dilihat 15 meter di atasnya dan seketika kami semua merasakan mereka berenam berada sangat dekat dengan kami. Jemaah tidak melepaskan peluang menunaikan solat 2 rakaat dan menyedekahkan Al-Fatihah buat insan-insan istimewa yang banyak berbakti dalam menyampaikan dan menyebarkan agama Allah S.W.T ini.

Cerita Menarik Mr Walid.

Selesai menunaikan solat dan bersolat 2 rakaat, kami duduk mengelilingi Mr Walid. Mr Walid menyampaikan sebuah cerita yang sungguh menarik dan sangat mengNeharukan (ada ke perkataan ni?? haha) kami semua. Di suatu zaman setelah kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, di negara Mesir ada seorang Raja nya memanggil ketiga-tiga pemimpin agama Samawi yang ada ketika itu (Islam, Kristian, Juda) mengadap baginda. Baginda dikatakan sudah mula tertaerik untuk menganut agama cuma tidak diberikan petunjuk untuk menganut agama Samawi yang mana satu.

Baginda Raja memulakan diskusi dengan bertanya kepada ketua Agama Yahudi. "Wahai Yahudi, apakah keistimewaan agama kamu?"

Maka jawablah si Yahudi : "Agama kami adalah agama yang sebenar. Agama yang dibawakan oleh Nabi Musa a.s. Kami dikurniakan kitab Taurat. Kitab yang diturunkan Allah kepada nabi Musa. Hanya kami (Yahudi) sahaja yang dijanjikan Allah untuk masuk ke syurga. tiada agama lain yang akan berpeluang untuk masuk ke Syurga. Maka tuanku, terimalah agama yang sebenar benar ini."

Baginda Raja meneruskan diskusi dengan bertanya kepada ketua Agama Kristian. "Wahai Kristian, apakah keistimewaan agama kamu pula?"

Maka jawablah si Kristian : "Agama kami adalah agama yang sebenar. Agama kami dibawakan oleh tuhan sendiri iaitu Jesus (Nabi Isa a.s.) berpandukan kitab Injil dan kamilah yang dijanjikan untuk masuk ke dalam Syurga, bukannya Islam malah Yahudi."

Baginda Raja meneruskan diskusi dengan bertanya kepada ketua Agama Islam. "Wahai Islam, apakah keistimewaan agama kamu pula?"

Dengan tenang, si Islam menjawab : "Kalau agama kau (menunjuk kepada si Yahudi) masuk syurga, kami akan masuk syurga juga, kalau agama kau (menunjuk kepada kristian) masuk syurga, kami akan masuk syurga juga. Tetapi kalau agama Kami yang masuk syurga, agama kau (Yahudi) dan kau (Kristian) tidak akan berpeluang masuk Syurga. Ini kerana, Kami (Islam) percaya kepada Nabi Muhammad S.A.W, Nabi Musa dan juga Nabi Isa. Kami percaya kepada Taurat dan Injil. Tetapi, Yahudi dan Kristian tidak percaya kepada Nabi Muhammad S.A.W dan juga Al-Quran Kareem."

Diriwayatkan selepas itu, Raja Mesir itu memeluk Islam.

Bekas tapak kaki Nabi Muhammad S.A.W.

Di sisi Maqam Nabi Ibrahim a.s terdapat sebuah bekas lagi yang dipercayai menyimpan bekas tapak kaki Nabi Muhammad S.A.W. Menurut Mr Walid, ketika perjalanan Baginda dari Masjidil Makkah ke Masjidil Aqsa dalam perjalanan Israk Baginda, Baginda berhenti sebentar di Kawasan ini menziarahi maqam-maqam orang beriman yang terdapat di sini sebelum meneruskan perjalanan menuju Baitul Maqdis. Namun begitu, tidak ada bukti yang kuat mengenai kehadiran Nabi Muhammad ke sini. Wallahualam.

Kami menghabiskan masa lawatan yang ada dengan melawat sekitar dalam Masjid sambil cuba menghayati zaman dan kesusahan setiap nabi ini ketika mereka berjuang menyebarkan agama Allah kepada kaum masing-masing yang degil. Menghayati betapa besar pengorbanan masing-masing apabila terkenangkan bentuk-bentuk tentangan yang diterima. Sebagai seorang Muslim, salah satu daripada Rukun Iman ialah percaya kepada Rasul. Terdapat 25 orang Rasul yang wajib dipercayai / diImani oleh setiap Muslim. Keraguan atau ketidakpercayaan kepada walau seorang pun daripada 25 ini bakal merosakkan keimanan kita. Cubalah ambil sedikit masa mengkaji kisah setiap seorang dan hayati perjuangan mereka mudah-mudahan kita akan mendapat keberkatanNya di hari kelak. Wallahualam.

1 comment:

rose said...

bestnye kalau dapat tengok dengan mata sendiri....=)